Sunday, August 28, 2005

34] Our Dismissal From UUM (Bahasa Melayu)

Dua pensyarah UUM diberhentikan kerana enggan tandatangani Akujanji
Nurul Nazirin
Aug 22, 05 8:01pm


Terjemahan

Selepas lapan bulan membisu mengenai hasil rayuan terhadap penamatan perkhidmatan mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM), pensyarah Dr Azly Abdul Rahman dan Dr Mutiara Mohamad kini tertanya-tanya mungkinkah mereka akan diterima semula bertugas di universiti tersebut.

Pasangan suami isteri ini diberhentikan daripada fakulti pendidikan dan sains kognitif, berkuatkuasa 8 Disember tahun lalu, kerana gagal menandatangani Akujanji sebagai kakitangan awam, yang diwajibkan.

Dalam surat bertarikh 17 Mac 2004 daripada Jawatankuasa Disiplin yang menyatakan pasangan tersebut telah melanggar etika, merek aturut didakwa gagal melaporkan diri untuk kembali bertugas selepas tamat pengajian mereka di peringkat kedoktoran di Amerika Syarikat. (Mereka telah melanjutkan pengajian di Amerika pada tahun 1997 dan telah menulis kepada UUM pada 5 September, memohon lanjutan cuti tanpa gaji sehingga September tahun depan dan menyatakan kedudukan kewangan mereka.sebagai alasan untuk terus berada di sana).

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut telah membuat keputusannya dalam mesyuarat pada 7 Disember lalu, mendapati pasangan tersebut ‘bersalah’ dan perkhidmatan mereka ditamatkan berkuatkuasa 9 Disember lalu.

Surat jawatankuasa tersebut yang bertarikh 23 Disember, juga memberi mereka 30 hari dari tarikh menerima surat tersebut untuk membuat rayuan. Pasangan tersebut membuat rayuan pada 1 Januari tahun ini.

"PM dimaklumkan"

Azly yang juga merupakan kolumnis malaysiakini, menyatakan melalui email, bahawa pihak universiti menganggap keenggan mereka untuk menandatangani Surat Akujanji sebagai ingkar perintah.

“Kini sudah kira-kira lapan bulan. Kami belum mendapat sebarang berita daripada UUM selepas mengemukakan surat rayuan kami,” katanya. Pasangan tersebut mengajar di UUM selama lebih lima tahun, dan kini tinggal di New Jersey di mana mereka bertugas sebagai pendidik.

Usaha untuk menghubungi Naib Canselor UUM, Dr Nordin Kardi tidak berjaya untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara tersebut. Azly dan Mutiara juga telah menulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Januari lalu, untuk menerangkan masalah mereka dalam surat setebal 19 muka surat, yang turut diperolehi malaysiakini hari ini, di samping dokumen-dokumen berkaitan yang lain.

Dalam surat tersebut, mereka menyatakan kandungan surat rayuan mereka kepada lembaga disiplin UUM – ini mempersoalkan fasal-fasal khusus dalam Akujanji, dan menyatakan mereka tidak akan menandatanganinya tanpa mendapatkan penjelasan mengenainya terlebih dahulu.

1 comment:

Anonymous said...

ISU AZLI RAHMAN: BUKAN AKU JANJI TETAPI HUTANG BELIAU RM1.2 JUTA

Oleh Mohd Zaini Nasri
Pengarah Perhubungan Awam UUM

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) ingin menjelaskan beberapa perkara berkaitan dengan artikel yang disiarkan portal internet, Malaysiakini pada 30 Julai 2007 bertajuk: “UUM VC: Apologise or we’ll slap you with an injuction”; dan `I want to serve...’ oleh Azly Rahman serta `UUM bersikap anti-intelektual’ oleh Lee Ban Chen pada 1 Ogos 2007.

Perkara pertama berkaitan kenyataan-kenyataan Dr Azly bahawa beliau dibuang daripada UUM kerana enggan menandatangani Surat Akujanji pada Desember 2004 dan UUM menghalang beliau menulis sesuatu yang menfitnah UUM ekoran notis firma guaman Azam Aziz & Co pada 5 Julai 2007.

Perkara kedua, Jabatan Perhubungan Awam UUM ingin menjelas dan memberikan kronologi isu ini begini: Dr Azly dibuang kerja atas dua pertuduhan 1. Tidak balik bertugas pada waktu yang ditetapkan walaupun UUM berkali-kali memberi peluang kepada beliau untuk kembali bertugas. 2. Beliau tidak menandatangani surat akujanji.

Perkara ketiga, Dr Azli dan isteri Dr Mutiara Mohamad belum membayar hutang RM1.25 juta kepada UUM.

Sebagai seorang pekerja dengan majikan, apa lagi dengan institusi ilmu seperti UUM, menjadi satu kesalahan jika seseorang di Malaysia tidak datang bekerja. Oleh itu, Dr Azly dan Dr Mutiara tidak boleh diberi keistimewaan untuk tidak datang bekerja seperti rakyat lain di Malaysia. Soal sekiranya institusi ilmu seperti Columbia University, tempat dikatakan Dr Azli bekerja sekarang, membenarkan beliau untuk tidak datang bertugas, tetapi ini tiada berkaitan di Malaysia.

Dr Azly yang disahkan dalam perkhidmatan sebagai pensyarah UUM pada 20 Januari 1996 telah diluluskan pembiayaan menyiapkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Columbia Universiti USA selama 36 bulan mulai 2 Disember 1997. Begitu juga dengan isterinya, Dr Mutiara Mohamad yang disahkan jawatan pada 1 Disember 2005 diberi pembiayaan yang sama untuk menyambung pengajian.

Mana-mana pembiayaan yang diberikan oleh sesebuah organisasi dengan kakitangannya di Malaysia, akan ada surat perjanjian, sama seperti perjanjian di antara peminjam wang dengan bank. Yang melanggar perjanjian mengikut amalan di UUM, mestilah ada implikasi tertentu.

Pada 2 September 2000, kedua-dua mereka patut memiliki Ph.D dan pulang mengajar anak-anak bangsa di UUM, tetapi mereka tidak juga pulang.

Bagaimanapun, UUM dengan murah hati memberi lagi tempoh pelanjutan kepada mereka berdua selama 12 bulan lagi, dengan pembiayaan dan dibayar gaji penuh oleh UUM.

Siapa yang menzalimi siapa?

Walaupun sudah habis tempoh berkenaan, Dr Azli dan Dr Mutiara merayu untuk melanjutkan lagi tempohnya berada di USA, UUM memberi peluang sekali lagi selama enam bulan mulai 2 September 2001, dengan pembiayaan dan dibayar gaji penuh.

Siapa yang menzalimi siapa?

Mereka berdua tidak juga mahu balik bertugas dengan UUM.

Pada 2 Mac 2002, mereka berdua sekali lagi merayu dan atas belas kasihan universiti sekali lagi mempertimbang dan meluluskan sekali lagi tempoh pelanjutan selama enam bulan dengan dibayar gaji mereka.

Siapa menzalimi siapa, sedangkan mereka dibayar pembiayaan menggunakan wang universiti.

Pada 2 September 2002, dan atas sebab rayuan mereka, sekali lagi universiti dengan penuh perikemanusiaan memberi peluang kepada mereka diberi tempoh sembilan bulan pelanjutan tempoh kepada mereka berdua sebelum kembali bertugas di UUM.

Ini bermakna mereka telah diberi empat kali peluang untuk memanjangkan tempoh pengajian berada di sana, tetapi mereka tidak juga pulang untuk mengajar anak-anak bangsa yang sangat memerlukan bimbingan mereka berdua, pada waktu itu. Isu sama ada beliau seorang ahli akademik yang cemerlang dengan mengambil masa begitu lama untuk menyiapkan Ph.D tidak pernah dibangkitkan oleh UUM sebelum ini, berbanding dengan pensyarah lain.

Jika dari 2001 beliau pulang dan mengajar anak-anak bangsa, sudah berapa ramai UUM dapat mengeluarkan graduan yang cekap berfikir dan bertanggungjawab terhadap hutang. Atas apa jua alasan yang diberikan, UUM dengan penuh rasa kemanusiaan memberi peluang kepada beliau untuk masih berada di sana.

Universiti mengeluarkan surat untuk mereka kembali bertugas pada 31 Oktober 2003, tetapi mereka berdua tidak jua pulang ke Malaysia dan UUM untuk bertugas.

Oleh sebab biasiswa dan perbelanjaan untuk mereka berdua diberikan dalam tempoh berkenaan menggunakan wang universiti iaitu wang rakyat Malaysia, UUM terpaksa membawa kes ini ke Jawatankuasa Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan mendapati kesalahan mereka berdua patut dikenakan hukuman buang kerja, pada 5 November 2003.

Mesyuarat Jawatankuasa tatatertib pada 16 Mac 2004 mendapati adanya kes prima facie dan surat pertuduhan dikeluarkan pada 17 Mac 2004.

Oleh sebab engkar kembali bertugas dan melanggar perjanjian belajar di bawah Skim Latihan kakitangan Akademik dan Pentadbiran, UUM telah menghantar notis tuntutan ganti rugi kira-kira RM1.25 juta kepada mereka berdua pada 16 November 2005.

Oleh sebab mereka memohon masa untuk mendapat bantuan guaman, maka sekali lagi atas dasar perikemanusiaan, universiti pada 22 Disember 2005, setuju memberi masa sehingga 30 Jun 2006. Apakah ada universiti dalam dunia ini sebaik ini meluluskan sebegitu banyak rayuan daripada kedua-dua mereka? Adakah mereka berdua ini terlalu istimewa berbanding para akademik lain yang lebih cemerlang daripada mereka?

Namun begitu, sehingga setahun kedua-duanya tidak juga membayar hutang itu kepada universiti. Mungkin Universiti di Amerika tidak akan menuntut hutang sebanyak RM1.25 juta kerana universiti itu kaya, tetapi universiti di Malaysia bukanlah sekaya itu untuk membiarkan wang pembayar cukai sebanyak RM1.25 juta kepada hanya dua orang, Dr Azly dan Dr Mutiara.

Selepas setahun tidak juga kedua-dua mereka membayar balik ganti rugi kepada universiti ini, UUM melalui firma guaman Bahador Omar & Co menghantar notis tuntutan pada 23 Julai 2007 sebanyak RM1.25 juta kepada kedua-dua mereka.

Tidakkah Dr Azly dan Dr Mutiara tidak merasa kesian kerana akan menzalimi kedua-dua penjamin mereka iaitu Mohamad bin Salim dan Ahmad Azmi Ariffin yang akan terpaksa membayar bagi pihak mereka?

Kes ini akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat ini.

Dalam tempoh sehingga ini, Dr Azli bukan sekali menulis artikel menyatakan UUM mengambil tindakan kerana engkar menandatangani surat akujanji, seolah-olah universiti mengekang kebebasan bersuara.

Sebagai ahli akademik, apa lagi yang beragama Islam, bukankah satu keaiban akademik jika hanya menyiarkan sebahagian fakta dan menyembunyikan fakta lain? Bukankah prinsip akademik perlu mendedahkan semua fakta.

Bukan sekadar tidak berterima kasih kepada UUM yang telah memberikan begitu banyak kebajikan dan menerima rayuan berkali-kali daripada beliau, Dr Azly memilih untuk memburukkan reputasi UUM di seluruh dunia.

Beliau juga sanggup menghina semua ahli akademik di universiti di negara ini dan kerajaan Malaysia kerana rata-rata ahli akademik menandatangai surat akujanji.

Oleh sebab UUM terus ditohmah Dr Azli walaupun mereka berdua bukan lagi kakitangan UUM, UUM meminta firma guaman Azam Aziz & Co untuk meminta Dr Azli tidak lagi memburukkan nama UUM.

Ringkasnya, Dr Azli dan isterinya Dr Mutiara mesti membayar ganti rugi kira-kira RM1.25 juta kepada universiti kerana engkar untuk balik bertugas dan beliau kini bukan lagi kakitangan Universiti Utara Malaysia. Kenyataan beliau bahawa beliau tidak akan menandatangani Akujanji selagi beberapa kluasa tidak diubah, sudah tidak relevan. Itu kenyataan `melukut di tepi gantang’ kerana beliau adalah bekas kakitangan yang telah dibuang kerana kesalahan tatatertib. Beliau tak perlu lagi berbuat demikian.

Kes Dr Azli Rahman ini tiada kaitan dengan Naib Canselor sekarang dan Naib Canselorpun tidak mengenali siapakah Dr Azli, walaupun Dr Azli ada merayu-rayu untuk kembali menjadi kakitangan UUM dengan memuji-muji Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Malah, dalam satu emel kepada Tan Sri Dr Nordin yang turut disalinkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dr Azly menulis: `I was also, during my two weeks stay here in Malaysia, been made aware that you are an educational leader who is open enough to work out peaceful solutions to the issue; unlike your predecessor.’ Beliau seolah-olah cuba membeli hati Dr Nordin yang tidakpun kenal siapa Dr Azly.

Yang memberhentikan Dr Azlipun bukanlah Tan Sri Naib Canselor tetapi oleh jawatankuasa tatatertib dan diperakukan dalam Lembaga Pengarah Universiti, yang pengerusinya bukanlah Naib Canselor UUM.

Dr Azli dan Dr Mutiara berhutang dengan UUM, maka sebagai penghutang beliau perlu bertanggungjawab terhadap hutang itu. Memang di atas planet bumi ini semua orang mahukan pelbagai kebebasan seperti ditulis Lee Ban Chen, tetapi kebebasan untuk tidak membayar hutang hampir tidak ada.

Meminjam ayat Dr Azly ` we must continue to help the poor, the oppresed dan the marginalised of all races…’ UUM bersedia menjadikan RM1.25 juta yang dihutang oleh Dr Azly dan Dr Mutiara sebagai biasiswa kepada mana-mana kaum termasuk kaum Cina di Ulu Lenggong atau kaum India miskin dan anak pekerja ladang untuk belajar di UUM.

Dengan menyembunyikan fakta, bolehkah disoal dan menulis berkali-kali mengenai orang tidak mengenali beliau dan beliaupun tidak kenal dengan orang yang ditulisnya, maka siapakah yang lebih `politically motivated?’ Siapakah yang membela rakyat? ‘Class’ masyarakat mana yang selalu meminta diri dilayan dengan istimewa?



Oleh Mohd Zaini Nasri
Pengarah Perhubungan Awam UUM.

Grandma’s Gangsta Chicken Curry and Gangsta Stories from My Hippie Sixties by Azly Rahman

MY MEMOIR IS NOW AVAILABLE ON AMAZON!  https://www.amazon.com/Grandmas-Gangsta-Chicken-Stories-Sixties-ebook/dp/B095SX3X26/ref=sr_1_1?dchild...